Monday, December 1, 2008

Bayangan Liga Super

Hasrat Sertai Liga Super Bakal Tercapai PDF Cetak Emel
Ditulis oleh Sinar Harian
SATURDAY, 29 NOVEMBER 2008 10:39
KOTA BHARU – Hasrat Kelantan untuk beraksi pada saingan Liga Super musim depan bakal menjadi kenyataan apabila pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menarik diri ekoran masalah kewangan.

Khabar gembira itu disampaikan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Mohamad Noordin Awang selepas menghadiri satu taklimat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Selasa lalu.

Katanya, jawatankuasa pertandingan memaklumkan berhubung cadangan bagi memberi peluang dan melayakkan pasukan Kelantan bagi bersaing dalam kelompok liga elit negara.

“Bagaimanapun, keputusan sama ada Kelantan layak atau tidak, hanya akan diputuskan pada Majlis Mesyuarat FAM yang berlangsung pada 6 Disember ini.

“Kita berdoa supaya keputusan berkenaan akan memihak kepada kita kerana memang impian kita untuk beraksi pada saingan liga super,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, pihak pengurusan dan pemain kini bersedia untuk memberi komitmen terbaik jika diberi peluang beraksi pada saingan liga musim depan.

Menurutnya, Kelantan mula membentuk pasukan sejak Oktober lalu dan ia adalah usaha Kelantan bagi merebut kejuaraan Liga Perdana musim depan.

“Kita memilih jurulatih yang berpengalaman dan pemain terbaik termasuk beberapa pemain berstatus bintang untuk merealisasikan impian tersebut.

“Namun jika nasib memihak kepada kita, ia mampu meletakkan kita salah satu pencabar dalam Liga Super tanpa menunggu tempoh semusim lagi,” katanya.

Mohamad Noordin berkata, Kelantan kini dalam rangka memantapkan pasukan dengan menghadapi beberapa siri perlawanan persahabatan termasuk bersama PKNS Selangor.

“Kita juga akan menyertai Kejohanan Empat Penjuru yang berlangsung di Terengganu pada 14 hingga 17 Disember depan yang turut disertai pasukan Terengganu, Negeri Sembilan dan KL Plus,” katanya.

No comments: